Monday, May 19, 2014

G-DAY@TAHAN ~ Final Part (hr7-hr8)


G-DAY@TAHAN
Universiti Teknologi Petronas & Prestige Outdoor Sport (POST)
6 Mei - 13 Mei 2014
33 peserta
Kuala Tahan- Kuala Tahan
alen,yoyo,ayieen,fizah,alia,chan,naza,along,ju,jan,hakim,ateh,aiman,kuyu,pet,ekerm,zubir,jb,bull,catok,bedul,rasta,akmal,azman,hisham,leman,myn,gori,yo,padok,fidhi,din,mizi

Terase nak sambung terus lk entri tadi..

Hari Ke-7 (12 Mei 2014)

Hari ni merupakan hari yang paling panjang untuk bahagian perjalanan pulang. Seawal 9:30am semua telah bersiap untuk bergerak dari Bukit Sarsi. Dari situ kami melalui Bukit Botak, Bukit Teku dan Kemudian berhenti mandi manda dan ambil bekalan air di Kem Teku yang sangat banyak Lebah pada jam 1:30pm. Rupa-rupanya perjalanan balik ke Kuala Tahan ni lagi banyak lebah dari mula-mula kami datang. Tapi sebab semuanya dah ada pengalaman,kami lebih bersabar untuk mengawal lebah yang berterbangan di muka dan leher serta seluruh bahagian badan yang lain.


Dari Kem Teku ke Kem Puteh, kami mesti mengharungi 7 kali laluan sungai seperti sebelumnya. Disebabkan keadaan masing-masing kepenatan dengan trip yang panjang serta kecederaan yang dialami, ramai rakan-rakan yang terjatuh ketika menyeberangi sungai. Kami juga terpaksa berhadapan dengan lebah semasa melintasi sungai itu. Mane nk tengok jalan lagi,mane nk elak lebah lagi. Memang "mental". Kami tiba di Kem Puteh pada jam 6:30pm,topup air,solat dan terus gerak mendaki Gunung Rajah. Kami rehat melepaskan lelah di sana dalam jam 9:30pm sehingga jam 10:15pm.
Target kami malam tu kami mesti bermalam di Kem Tengah, jadi kami meneruskan perjalanan ke Kem Tengah melintasi bukit-bukit termasuk Bukit Malang. Sampai di Kem Tengah jam 12am. Semua kepenatan,tapi kami perlu masak kerana seharian kami tak makan kerana melarikan diri daripada lebah. Ada yang terus tidur dengan pakaian trekking tanpa makan. Disebabkan esoknya kami mesti sampai Kuala Tahan,jadi kami perlu bergerak awal pagi. Semua tidur hanya beralaskan groundsheet tanpa flysheet dan sleeping beg.

 Hari ke-8 (13 Mei 2014)

Kesengsaraan hampir berakhir..hehehe.. Seawal 6:40am kami memulakan perjalanan kerana kami target untuk sampai di Pejabat Perhilitan sebelum tamat waktu pejabat kerana kami perlu isytiharkan barang yang kami bawa. Ada beberapa lagi bukit yang kami perlu tempuh untuk sampai di Kem Melantai iaitu Bukit Jepun, Bukit Mengah, Bukit Jerman dan Bukit Buluh. Kami tiba di Kem Melantai jam 10:40am.

Sampai di Kem Melantai, kami perasan yang sarang lebah tu berada di pokok tualang berdekatan dengan kem site tu. Patutlah lebah banyak sangat.  Tanpa buang masa, kami topup air dan teruskan perjalanan ke Taman Negara Kuala Tahan. Tapi sebelum tu kami rehat makan tengah hari di Bukit Melantai dan teruskan perjalanan pada jam 12:30pm. Kami tiba di Taman Negara Kuala Tahan pada jam 4:40pm dan yang paling lewat pada jam 5:30pm.

Sempat la semua orang diperiksa oleh pegawai Jabatan Perhilitan pada petang itu. Alhamdulillah,akhirnya sempurna satu trip pendakian dan semua yang pergi dapat pulang dengan selamatnya. Kami menetap di Liana Hostel pada malam tu dan buat BBQ untuk meraikan semua.




Tamatlah sudah episod pendakian program G-DAY@TAHAN pada 13 Mei 2014. Terima kasih banyak-banyak diucapkan kepada Organizer kerana sudi menempatkan kami dalam kalangan peserta walaupun pada mulanya penyertaan telah penuh.
Pengalaman yang kami dapat dalam trip ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Sesungguhnya anugerah ciptaan Allah itu sungguh indah dan mempesonakan. Marilah kita sama-sama menyintai alam kita seperti kami di A.L.A.M.

G-DAY@TAHAN ~ Part 2 (hr4-hr6)



G-DAY@TAHAN
Universiti Teknologi Petronas & Prestige Outdoor Sport (POST)
6 Mei - 13 Mei 2014
33 peserta
Kuala Tahan- Kuala Tahan
alen,yoyo,ayieen,fizah,alia,chan,naza,along,ju,jan,hakim,ateh,aiman,kuyu,pet,ekerm,zubir,jb,bull,catok,bedul,rasta,akmal,azman,hisham,leman,myn,gori,yo,padok,fidhi,din,mizi

Ok,kita sambung lagi cerita semalam..

Hari Ke-4 (9 Mei 2014)

Hari ni semua bangun lewat sikit kerana tiada gangguan lebah. alhamdulillah. Sementara menunggu beberapa orang peserta yang tidur di Bawah sampai, kami menyiapkan diri,sarapan pagi dan bungkus makan tengah hari sekali, semua dilakukan dengan selesa. Perjalanan hari ni menuju ke Kem Padang tapi melalui Kem Gedung. Setelah selesai semua, kami bergerak dalam jam 12:40pm untuk meneruskan lagi pengembaraan kami.

Laluan hari ni banyak mendaki kerana kebanyakkannya adalah gunung-ganang. Gunung yang akan kami lalui hari ini adalah Gunung Pangkin, Gunung Tangga 15, Gunung Reskit dan Gunung Gedung. Ada diantara kami yang injured, jadi perjalanan menjadi sedikit perlahan. Untuk pengetahuan, pemandangan yang paling cantik yang korang semua boleh tengok adalah pemandangan daripada Pangkin ke Padang. Masya Allah,memang menakjubkan. Indahnya ciptaan Allah. Itulah yang kami suka tentang alam, cantik,sejuk je mata memandang. Dan yang paling penting, keindahan dan kecantikan tu masih terpelihara.

Laluan dari Tangga 15 ke Reskit banyak menggunakan tangga, jadi bagi yang gayat perlu berhati-hati. Laluan bertambah sukar dari Reskit ke Gedung kerana trek pacak dan banyak menggunakan tali dan tangga. Kebanyakkan dari kami sudah mula sakit kaki, tapi mereka kuatkan semangat untuk mendaki juga sampai ke Gunung Gedung. Alhamdulillah,bila sampai sahaja di Gedung, kepenatan mula hilang dengan panorama yang begitu indah dengan kesejukan yang mula terasa. Kami melepak di Gedung untuk menghilangkan penat sambil menikmati dan mensyukuri anugerah ciptaan Allah.

Dari Kem Gedung,kita boleh nampak Kem Padang kerana di sana terdapat toilet batu yang berwarna oren. Jadi kami rasa perjalanan ke Padang tidaklah begitu jauh. Rupanya sangkaan kami meleset kerana jarak ke Kem Padang mengambil masa dalam 40 minit juga untuk sampai dengan trek yang sangat licin kerana kami menuruni laluan air. Oleh itu,semua mesti berhati-hati ketika melangkah untuk menuruni laluan air tersebut. Tempat mandi a.k.a air terjun dekat situ memang best dan sejuk sangat. Paling awal yang sampai pada jam 7:15pm manakala paling lewat dalam jam 11pm. Alhamdulillah,kali ini semua selamat sampai di Kem Padang.

Hari Ke-5 (10 Mei 2014)

Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta terutama yang nk Grad G7. Semua bagaikan sudah tidak sabar untuk ke Puncak Gunung Tahan. Pemandangan pokok bonsai hutan dan pokok-pokok yang renek menghiasi suasana. Gunung-ganang yang telah dan belum dijejaki dapat dilihat dengan jelas sepanjang perjalanan. Pelan yang asal, dari Padang-Puncak-Gedung untuk hari ni.

Kami bergerak dari Kem Padang jam 10:30am dan berhenti makan tengah hari di Bukit Berapit pada jam 12pm. Sementara menunggu semuanya sampai, kami memasang flysheet dan kemas barang yang perlu dibawa ke puncak kerana kami tidak perlu membawa haversack ke puncak,hanya barang makanan,headlamp dan baju sejuk sahaja. Seronok betul sebab kami boleh berjalan dengan cepat kerana beban telah berkurangan buat sementara waktu.
Kami memulakan semula perjalanan ke Puncak Tahan pada jam 2pm. Bagi peserta lelaki yang sudah tidak sabar lagi,mereka berlari untuk sampai ke puncak. Yang lain berjalan dengan kelajuan sendiri sambil menikmati panorama sepanjang perjalanan. Rasa puas dan tenang hati ini kerana setelah bersusah payah mengharungi lebah,akhirnya kami sampai juga ke puncak dalam jam 4:15pm. Alhamdulillah,akhirnya Puncak Tahan telah kami tawan. Kami tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama rakan seperjuangan. Dengan kedinginan sudah tentunya perut teras lapar,jadi setiap kumpulan dirikan flysheet dan masak megi. Megi la makanan yang paling sedap kat atas puncak yang sejuk.hehe.. sebaik dirikan flysheet, hujan turun dengan lebat dan semua mencari tempat berteduh dan haba kerana kesejukan. Beberapa minit selepas itu,hujan mula berhenti dan pemandangan yang diliputi kabus pada awalnya telah terlihat. Masya Allah, cantiknya pemandangan. Tidak puas rasanya memandang dengan mata kasar ni. Gambar dan realiti sangat berbeza. 


Nak tahu tak apa yang pelik yang ada kt Gunung Tahan tapi tak ada kat Gunung G7 lain? Dekat Gunung Tahan ada toilet yang lengkap dengan flush dan tangki air sekali, tapi malangnya tiada sumber air. Macam display je la,tapi still boleh digunakan. Punca airnya, Kena ambil dari lopak2 air..hehe.. Kami bergerak turun dari Puncak dalam jam 6:40pm menuju ke Bukit Berapit untuk mengambil barang2 dan meneruskan perjalanan ke Kem Gedung. Sampai di Merapit dalam jam 8pm sambil menunggu rakan-rakan yang kain sampai. Disebabkan ada peserta yang injured dan xberdaya, kami terpaksa bermalam di Bukit Berapit. Sedih xdapat tengok sunrise kat Gedung, tapi kita mesti ambil kira keupayaan orang lain jugak kan? Jadi keputusannya, bermalam di Merapit. Sejuk gile wooo....

Hari Ke-6 (11 Mei 2014)

Dengan keadaan yang sejuknya,bihun yang kami rendam semalaman xlembut pn. Pagi tu sukar sikit nak masak sarapan, dan kami masak nasik goreng untuk bungkus bekalan makan tengah hari. Lambat sikit kami memulakan perjalanan hari ni,dalam jam 10:40 am kami memulakan perjalanan ke Kem Gedung dan sampai dalam jam 12:10pm. Disebabkan pemandangan di Gedung cantik dengan kawasan yang lapang dan luas, kami rehat di Gedung dalam satu jam setengah. Dalam jam 1:30pm, kami teruskan perjalanan turun ke trek yang sama kami naik hari tu iaitu melalui Gunung Reskit, Gunung Tangga 15 dan Gunung Pangkin. Sampai di Kem Pangkin Bawah dalam jam 7pm, semua peserta berhenti untuk solat dan topup air untuk sambung perjalanan. Kebetulan sewaktu sampai di sana, ada sekumpulan foreigner berkhemah di situ. Jadi selepas siap2 apa yang patut,dalam jam 8pm kami dah mula bergerak turun menuju ke Bukit Sarsi.
Cadangan asalnya,kami sepatutnya bermalam di Kem Teku. Tapi disebabkan masing-masing fobia dengan lebah, Guider mencadangkan supaya bermalam di Bukit Sarsi yang jaraknya lebih kurang 4jam dari Kem Teku. Jauh gap tu nak sampai ke kem site,tapi kami terpaksa. Jadi dalam jam 9:30pm kami tiba di Bukit Sarsi untuk bermalam. Semua tido awal kerana esok adalah hari yang paling panjang untuk semua..
Pengembaraan kami hampir sampai ke penghujungnya.......sambung next entri.

Sunday, May 18, 2014

G-DAY@TAHAN ~ Part 1 (hr1-hr3)


G-DAY@TAHAN
Universiti Teknologi Petronas & Prestige Outdoor Sport (POST)
6 Mei - 13 Mei 2014
33 peserta
Kuala Tahan- Kuala Tahan
alen,yoyo,ayieen,fizah,alia,chan,naza,along,ju,jan,hakim,ateh,aiman,kuyu,pet,ekerm,zubir,jb,bull,catok,bedul,rasta,akmal,azman,hisham,leman,myn,gori,yo,padok,fidhi,din,mizi



Pendakian ke Gunung Tahan melalui trek Kuala Tahan- Kuala Tahan ini dikatakan trek yang paling mencabar bagi pendaki-pendaki. Jaraknya lebih kurang 55km dari pejabat Perhilitan Taman Negara ke Puncak Gunung Tahan. Oleh kerana ramai peserta yang Grad G7 di Gunung Tahan, mereka memilih untuk melalui laluan ini. 

Gunung Tahan merupakan Gunung yang terkawal dan diletakkan dibawah penjagaan Taman Negara dan dikawal selia oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Oleh itu setiap aktiviti haruslah mendapat kebenaran dan akan dikenakan bayaran yang sepatutnya. Sebelum memulakan pendakian, semua peserta haruslah memberitahu bilangan barangan yang dibawa kepada pegawai yang bertugas di Pejabat Perhilitan Taman Negara untuk diperiksa.

Pemeriksaan ke atas semua barang peserta selesai lebih kurang sejam setengah. Taklimat ringkas diberikan oleh Guider Ayie tentang perjalanan yang bakal ditempuhi untuk beberapa hari ni. Beliau juga ada memaklumkan tentang bilangan Lebah yang sangat banyak pada musim ini. Aktiviti pemanasan badan dan bacaan doa dilakukan sebelum memulakan perjalanan.

Hari Pertama-6 Mei 2014
Seawal jam 10:50am kami semua memulakan pengembaraan menuju ke Kem Melantai, iaitu destinasi pertama kami untuk bermalam. Setelah 20minit berjalan di atas pelantar pejalan kaki yang disediakan, kami berhenti rehat di Lubok Simpon. Ada peserta yang mengambil kesempatan untuk mandi-manda sebelum meneruskan perjalanan.
Perjalanan menuju ke Kem Melantai tidaklah begitu sukar memandangkan struktur Bumi dikawasan itu agak mendatar dan hanya ada sedikit permukaan menaik dan menurun. Kami tiba seawal jam 5.00petang. 

Malangnya bagi kami sampai terlalu awal kerana kami terpaksa berhadapan dengan lebah buat kali pertamanya. Mulanya kami ingat lebah kelulut yang kecil dan biasa kami jumpa dimana-mana gunung yang lain,tapi ternyata sangkaan kami meleset kerana lebah yang datang besar2 dan banyak. Aktiviti memasak kami terganggu dengan adanya lebah ini kerana lebah ini tertarik dengan cahaya.Selesai makan,semua tidur setelah penat berjalan seharian.
Kem Melantai

Hari Kedua-7 Mei 2014
Selalunya trip pelajar UTP akan bergerak lambat kerana masing-masing payah bangun pagi, tapi disebabkan lebah seawal 6 pagi semua sudah bangun dan siapkan kelengkapan masing-masing. Ramai yang sudah "mental" dengan lebah dan tak tahan kena sengat, jadi jam 8:20am semua bergerak ke destinasi seterusnya. Kami berjalan dengan langkah masing-masing kerana banyak mendaki bukit. Antara bukit yang kami lalui adalah Bukit Buluh, Bukit Jerman, Bukit Mengah (memang mengah pun), Bukit Jepun dan berhenti makan tengah hari di Bukit Tengah a.k.a Kem Tengah dalam jam 1pm
Kem Tengah

Perjalanan hari ini menuju ke Kem Puteh agak mencabar berbanding semalam kerana dah mula trek mendaki iaitu perlu mengharungi 26 bukit dan mendaki Gunung Rajah yang berketinggian 567meter (1889ft) atas paras laut. Kem Puteh terletak di kaki Gunung Rajah.

Dari Kem Tengah ke Kem Puteh hanya mengambil masa lebih kurang 4jam, jadi guider mencadangkan supaya kami berehat di Kem Tengah lama sedikit untuk mengelakkan dari lebah yang banyak di Kem Puteh nanti sekiranya sampai terlalu awal. Jam 3:30pm kami bergerak dan sampai pada jam 7:15pm. Walaupun ada lebah,tapi bilangannya kurang cuma pacat pula yang banyak. adoii...yang penting dapat bersihkan diri dan mandi di sungai. Leganya.


Hari Ketiga-8 Mei 2014
Pagi ni lebah menyerang dengan banyaknya. Walaupun semua dah bangun seawal 5:30am lebah lagi awal datang. Semua xsempat nak mengemas barang dengan betul sampai ada yang tertinggal sebab nak larikan diri dari lebah. Ada juga yang xtahan sampai campakkan beg ke dalam sungai dan cecepat pakai beg. Sebab lebah paling banyak hurung beg. Menyeramkan..sungguh menyeramkan.

Hari ni kami terpaksa mengharungi 7 kali laluan sungai menuju ke Kem Teku untuk makan tengah hari dalam 4jam perjalanan kemudian terus ke Kem Pangkin Bawah untuk bermalam. Jumlah jam perjalanan pada hari ini dalam 13jam. Kami bergerak seawal 8am dan sampai Kem Teku jam 12:30pm tapi disebabkan lebah yang sangat banyak,kami terpaksa meneruskan perjalanan ke tempat yang lebih tinggi untuk makan tengah hari.




Malangnya ramai yang terlupa nk topup air,jadi bekalan air yang ada tu nk buat masak air dan makanan tengah hari dan air tu juga nk buat bekalan sampai Kem Pangkin Bawah. Kebanyakkan dari kami xsempat lunch,jadi kami berhenti di Bukit Sarsi dalam jam 6pm untuk masak makanan untuk alas perut dan solat. Lepas maghrib dalam jam 7:45pm kami bergerak semula menuju ke Kem Pangkin Bawah dan tiba dalam jam 10pm. Trek agak memacak,tapi disebabkan sudah gelap kami semua berjalan dengan perlahan untuk mengurangkan penggunaan tenaga. Seksa sangat bila trekking takda air. Semua dah kekeringan tekak dan semakin perlahan sebab tiada tenaga. 

Sumber air di Kem Pangkin agak jauh dan susah laluan turunnya,tetapi disebabkan semua dah kekurangan air dalam badan bergegas mengambil air untuk diminum. Bagi yang sampai awal,kami menyediakan air untuk kawan2 yang baru sampai supaya mereka dapat hilangkan dahaga mereka. Ada juga diantara kami yang cedera dan xberdaya untuk sampai di Kem terpaksa tidur di bawah kerana tidak larat untuk meneruskan perjalanan. Khemah didirikan dan masing2 membersihkan diri dan menyiapkan makanan malam. Lebah tiada di kawasan ini,jadi semua boleh tidur dengan lena. Esok pagi hanya menunggu ketibaan rakan2 dari bawah sampai,kemudian baru meneruskan perjalanan. 

Untuk hari seterusnya kita sambung di entri yang seterusnya k. Banyak lagi hari yang kami kena tempuh ni.