Saturday, April 19, 2014

WARM UP TRIP BUJANG MELAKA

PENGENALAN & PERSIAPAN UNTUK MENDAKI GUNUNG TAHAN
12 April-13 April 2014
A.L.A.M Outdoor Sport
19 peserta


Gunung Bujang Melaka(GBM) yang berketinggian 1233meter (4048kaki) dari paras laut terletak 8km di timur laut Pekan Kampar, Perak. GBM mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana keindahan flora dan fauna sepanjang perjalanan ke puncak. Bagi mereka yang meminati keindahan alam semulajadi dengan adanya tempat mandi-manda, air terjun Batu Berangkai yang terletak di kaki gunung ini pasti dapat memberikan kepuasan tersendiri.


Ekspedisi bermula

Seawal jam 9am, semua peserta telah berkumpul di Masjid An-Nur, Kampar untuk sarapan pagi dan membuat persiapan untuk mendaki. Kami bergerak ke air terjun Batu Berangkai jam 10am dengan menaiki kereta kerana jalannya agak jauh, dalam 20 minit selepas itu kami tiba di sana. Semua peserta diminta berkumpul kerana jurupandu arah akan memberikan sedikit taklimat berkenaan dengan gunung ini. Sebelum memulakan perjalanan, senaman pemanasan badan dan doa dibacakan.

Kami mula bergerak pada jam 11am melalui dusun dan kawasan rumah orang asli. Kemudian trek mulai memacak sehingga tiba di Kem Lebah,iaitu tempat untuk kami bermalam. Para peserta yang baru pertama kali menaiki GBM kerap kali menanyakan bila nak sampai ke Kem. Semuanya sudah kepenatan dan "mental" oleh trek yang menaik. Akhirnya, pada jam 4:30pm kami sampai di Kem Lebah. Perjalanan kami teramatlah santai dan banyak berehat,sebab itu mengambil masa yang agak lama.

Masing2 bersiap untuk mendirikan khemah dengan menggunakan flysheet dan groundsheet. Semua peserta tidak melepaskan peluang mandi-manda di sungai berdekatan. Setelah semua membersihkan diri, kami membuat persiapan untuk memasak pula. Malam tu kami semua buat BBQ, makan ayam bakar yang sangat sedap dengan banyaknya disamping makanan lain. Selesai makan dan berborak-borak, kami semua tidur jam 11:30pm.


Menuju Puncak GBM

Seawal jam 8am, semua sudah bangun untuk menyiapkan diri. Kami disajikan dengan bihun goreng dan nasi goreng untuk sarapan pagi. 9am, kami bergerak menuju ke Puncak GBM tanpa membawa barangan kecuali air. Kami tiba di Puncak pada jam 10:30am. Di atas puncak cuma terdapat bayroute dan sedikit kawasan lapang. Pemandangan luar tidak begitu nampak jika dilihat dari puncak GBM. Walaupun begitu,kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenang-kenangan bersama rakan seperjuangan yang bersama-sama mendaki GBM.


Setelah puas bergambar dan menikmati pemandangan di Puncak, kami mula bergerak turun dalam jam 12pm kerana perut kami pun dah mula lapar. Perjalanan turun hanya mengambil masa 40minit sahaja kerana laluan menurun yang mudah dan ada kalanya boleh berlari di atas trek. Lagipun kami semua tidak membawa Beg hiking yang besar tu, jadi kuranglah beban kami. Sampai di Kem Lebah, kami makan tengah hari dan mengemas semua barang-barang termasuklah flysheet dan groundsheet. 

Ekspedisi Berakhir

Sebaik sahaja semua siap berkemas, hujan turun dengan lebatnya mengiringi pengakhiran ekspedisi kami. Kami mula bergerak turun pada jam 2pm melalui trek yang sama. Jam 5pm semua peserta selamat tiba di air Terjun Batu Berangkai. Niat untuk mandi-manda di Air Terjun terpaksa dibatalkan kerana hujan masih turun dengan lebatnya sehinggalah kami bergerak pulang. Tamatlah ekspedisi kami pada kali ini.

Penghargaan

Terima kasih diucapkan kepada jurupandu arah kami iaitu yoyo dan alen yang memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada program kali ini. Dan salam perkenalan untuk pendaki-pendaki yang baru dan terima kasih diucapkan kepada semua yang menyertai program kami.